Polis Labuan lebih tegas, tak ‘bagi muka’ lagi

Polis Labuan lebih tegas, tak ‘bagi muka’ lagi

Ketua Polis Labuan, Ahmad Jawila, berkata pihaknya perlu lebih tegas terhadap mereka yang melanggar SOP untuk mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Labuan, Ahmad Jawila, berkata pihakya perlu lebih tegas kerana ramai yang mengabaikan SOP. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Polis Labuan mengenakan denda berjumlah RM32,000 kepada 16 orang hari ini termasuk tetamu yang menghadiri satu majlis sambutan hari jadi.

Ketua Polis Labuan, Ahmad Jawila, berkata individu berusia antara 18 hingga 48 tahun itu melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

Katanya, seorang didenda RM5,000 kerana tiada permit untuk merentas daerah, manakala dua lagi masing-masing dikenakan denda RM2,000 kerana berkelah di tepi pantai.

“Tujuh orang pula didenda RM2,000 kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiga lagi individu didenda RM1,500 setiap seorang kerana pelanggaran SOP di lokasi lain, manakala tiga yang lain turut dikenakan jumlah sama kerana gagal mengimbas kod QR pada aplikasi MySejahtera.

Ahmad berkata, polis mengambil tindakan tegas untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di pulau itu.

“Kami sebelum ini mengambil pendekatan lebih lembut ketika awal pelaksanaan PKPB pada 12 Mei dengan hanya menasihatkan orang ramai.

“Namun, nampaknya kini kami perlu lebih tegas kerana ramai yang mengabaikan SOP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.