
Penasihat mahkamah bagi isu kanak-kanak Syed Azmi Alhabshi memberitahu FMT bahawa beliau yakin banyak kes yang tidak dilaporkan sekiranya seseorang menggunakan definisi undang-undang pornografi kanak-kanak.
Di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, pornografi kanak-kanak termasuk menghasilkan bahan, menggunakan kanak-kanak untuk menghasilkannya, memiliki akses serta menukar dan menjualnya.
Syed Azmi berkata, penglibatan kanak-kanak dalam pornografi meningkat sekiranya kita bercakap mengenai kanak-kanak sebagai pelaku atau penonton atau mengenai orang dewasa yang menonton bahan tersebut.

Beliau berkata, kes yang tidak dilaporkan sering berlaku dengan pelaku dikenali oleh mangsa.
“Malah 90% pemangsa dikenali oleh kanak-kanak yang menjadi mangsa,” katanya.
Tambah beliau, ketakutan terhadap kesan dan akibat menyebabkan kejadian seperti itu tidak dilaporkan.
Katanya, adalah salah untuk mempercayai kanak-kanak menemui bahan pornografi, sama ada secara tidak sengaja atau sebaliknya, tidak akan terangsang atau akan mudah melupakannya.
Rabu lalu, polis memaklumkan 45 kes pornografi kanak-kanak dilaporkan berlaku antara 18 Mac tahun lalu dan 29 April tahun ini.
Ia menunjukkan peningkatan 27 kes daripada angka yang direkodkan antara 18 Februari 2019 dan 17 Mac 2020, sehari sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dikenakan.
Syed Azmi berkata, kanak-kanak yang terkurung di rumah berisiko terdedah kepada pornografi.
“Dengan akses yang lebih besar kepada peranti, maka tidak hairan jumlahnya semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu kanak-kanak yang terpengaruh melalui media sosial untuk melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya.
Katanya, salah satu cara untuk menangani ancaman tersebut adalah untuk ibu bapa memberi perhatian kepada aktiviti anak-anak dalam talian, terutama di media sosial.
“Kanak-kanak harus diperbetulkan jika mereka mula menunjukkan tingkah laku seksual. Kadang-kadang ini menunjukkan mereka meniru perkara yang mereka lihat dan ibu bapa harus mendapatkan pertolongan daripada profesional,” tambah beliau.
Beliau juga berkata, faktor lain adalah jika ibu bapa tidak lagi menjadi tempat rujukan anak-anak mereka.
“Sekiranya anak anda menyembunyikan sesuatu daripada anda, itu bermakna anda bukan lagi tempat rujukan, maka wujud masalah di situ.
“Ini adalah sesuatu yang perlu dikhuatiri dan perlu ditangani secepat mungkin,” kata beliau.