
Naib Ketuanya, Mohd Fared Khalid berkata, bantuan itu tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi dan ia tidak bermakna mereka menyokong tindakan individu yang ditahan itu.
“Ia adalah inisiatif bagi membantu keluarga terkesan dan tidak mempunyai keupayaan kewangan bagi yang mahu mendapatkan khidmat guaman, ditambah dalam suasana Aidilfitri, perintah kawalan pergerakan dan Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Khamis lalu, klip video dan gambar himpunan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat, tular di media sosial.
Setakat ini, 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.
Fared berkata, bantuan guaman itu bukan bertujuan mengganggu siasatan polis.
“Tawaran yang diberikan sekretariat peguam Pemuda Umno Johor ini melibatkan nasihat guaman, representasi peguam dan urusan surat-menyurat, manakala kos lain akan dibiayai keluarga mereka.”
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memperalatkan anak muda untuk tujuan sandiwara atau gimik politik.
“Anak muda di negeri ini juga diingatkan tidak mudah diperguna sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.”