PKR, Amanah gelojoh rebut kerusi, kata Pemuda Umno Johor

PKR, Amanah gelojoh rebut kerusi, kata Pemuda Umno Johor

Ketuanya Noor Azleen Ambros berkata pimpinan kedua-dua parti itu sepatutnya beri tumpuan selesai masalah rakyat.

Noor Azleen Ambros
Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata sikap gelojoh PKR dan Amanah merebut kerusi langsung tidak kena dengan ‘mood’ rakyat ketika ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno Johor mengkritik pimpinan PKR dan Amanah negeri itu yang disifatkannya sebagai gelojoh dan terburu-buru dalam menentukan kerusi yang hendak ditandingi dalam pilihan raya akan datang.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata Pemuda Umno hairan dengan sikap gelabah yang ditunjukkan pimpinan PKR dan Amanah negeri itu, yang sepatutnya memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah rakyat.

“Sikap gelabah, gelojoh serta terburu-buru yang ditunjukkan pemimpin PKR dan Amanah ini tidak menunjukkan rasa empati dengan realiti kehidupan rakyat yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran.

“Pemimpin parti politik seharusnya lebih peka dan sensitif dengan kehendak rakyat, bukannya berpolitik tanpa kira musim dan asyik memikirkan soal kerusi serta kuasa sepanjang masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azleen juga memberi amaran bahawa prestasi kerajaan sedang dinilai dan diperhatikan rakyat, sambil menyifatkan keghairahan PKR dan Amanah merebut kerusi langsung tidak kena dengan ‘mood’ rakyat.

“Umno Johor tidak akan terperangkap dengan permainan politik gelabah ini,” katanya.

Terdahulu hari ini, PKR Johor berkata parti itu menyasarkan untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen pada PRU akan datang, termasuk kerusi Muar yang kini disandang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketua PKR Johor Dr Zaliha Mustafa berkata barisan kepimpinan baharu negeri itu mahu merampas semula kerusi Parlimen Muar, Pagoh dan Mersing.

Beliau juga memberi fokus kepada Muar, dengan menyifatkan kerusi itu mempunyai peluang besar untuk dimenangi PKR.

Sebelum ini, Amanah Johor Amanah turut menyatakan hasrat bertanding 12 hingga 20 kerusi DUN pada pilihan raya akan datang, berikutan tiada rundingan jelas antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Johor.

BN kini menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, dengan Umno memegang 33 kerusi, MCA empat dan MIC tiga.

PH yang menyokong kerajaan negeri BN mempunyai 12 Adun, terdiri daripada 10 daripada DAP serta masing-masing satu daripada PKR dan Amanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.