Pemuda Umno belum putus sertai himpunan bantah RUU PSB anjuran PAS

Pemuda Umno belum putus sertai himpunan bantah RUU PSB anjuran PAS

Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin berkata sehingga kini pihaknya belum terima sebarang undangan.

Hafiz Ariffin
Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin berkata setakat ini tiada undangan rasmi daripada PAS berhubung himpunan membantah RUU PSB di Kuala Lumpur pada 4 Okt. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno belum memutuskan sama ada akan menyertai himpunan membantah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) anjuran PAS pada 4 Okt ini.

Setiausaha Pemuda Umno, Hafiz Ariffin, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang undangan berhubung penganjuran himpunan itu.

“Kami tidak pasti tentang jemputan tersebut, tiada apa-apa jemputan rasmi (dibuat),” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, seorang lagi Exco Pemuda Umno, Khairul Azman Abdul Azeez, berkata buat masa ini sayap tersebut lebih fokus kepada perbincangan dan sesi libat urus yang rapi bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung RUU PSB.

“Kalau sekadar himpunan tetapi tiada solusi pun tidak ada makna,” katanya.

Umno sebelum ini mengumumkan Naib Presiden Johari Abdul Ghani sebagai ketua pasukan khas bagi mengkaji penambahbaikan RUU tersebut.

Khairul Azman berkata, hasil kajian terperinci pasukan khas ini akan dibentangkan di Konvensyen Melayu Bandar yang akan diadakan hujung bulan ini.

Katanya, konvensyen itu akan melibatkan kepimpinan tertinggi Umno semua peringkat, parti-parti politik Melayu, NGO, ahli akademik serta masyarakat sivil.

“Resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada perdana menteri. Dengan cara ini, kita benar-benar boleh cari solusi kepada isu yang dibangkitkan berkaitan RUU ini, khususnya melibatkan kepentingan orang Melayu,” katanya.

Terdahulu, Pemuda PAS menggesa seluruh jentera sayap parti itu menggerakkan penyokong mereka menghadiri himpunan membantah RUU PSB pada 4 Okt di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketuanya, Hafez Sabri, berkata Pemuda PAS juga mengundang secara terbuka semua parti politik, NGO dan tokoh individu untuk bersama dalam jawatankuasa khas himpunan itu.

RUU PSB dijadual dibahaskan dalam sidang Parlimen akan datang bagi membolehkan kerajaan menjalankan projek pembangunan semula di sesuatu kawasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.