
Menurut agensi berita dan maklumat Palestin (Wafa), penunjuk perasaan berarak ke stadium sambil mengibar bendera Palestin, manakala penduduk di sekitar menggantung sepanduk solidariti dari balkoni kediaman mereka.
Di dalam stadium, penonton turut mempamerkan bendera gergasi Palestin di tempat duduk penonton yang disertai sepanduk tertera “Let children live” sebagai tanda protes terhadap serangan Israel ke atas Gaza.
Sebahagian lagi memegang kad merah sebagai simbol bantahan.
Terdahulu, Persekutuan Bola Sepak Norway mengumumkan hasil jualan tiket perlawanan pada Sabtu akan disumbangkan kepada pertubuhan kemanusiaan Médecins Sans Frontières (Doctors Without Borders).
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan besar memihak kepada Norway 5-0, sekali gus mengekalkan kedudukan mereka di tangga teratas kumpulan dan menghampiri peluang layak ke Piala Dunia.