Akmal nasihat Pemuda PAS cari solusi sebelum himpun bantah RUU PSB

Akmal nasihat Pemuda PAS cari solusi sebelum himpun bantah RUU PSB

Ketua Pemuda Umno itu berkata mengadakan himpunan tanpa beri cadangan terbaik kepada kerajaan hanya mendatangkan keburukan.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh beri komitmen untuk turun berhimpun membantah RUU PSB bersama Pemuda PAS sekiranya cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan ditolak.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menasihatkan Pemuda PAS duduk semeja mengumpulkan cadangan dan penyelesaian terbaik mengenai isu Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sebelum berhimpun membantah RUU itu.

“Bila kita tolak, kita tak nak tolak begitu (sahaja). Kita kena datangkan satu solusi terbaik.

“PAS ada cadangannya, Umno ada cadangannya. Kita kumpulkan cadangan terbaik dan serahkan kepada kerajaan. Jika kerajaan tak nak terima cadangan kita ini, saya beri komitmen kita akan turun sama membantah RUU PSB,” katanya di Facebook.

Akmal berkata Barisan Nasional (BN) membincangkan isu itu dalam forum Urbanisasi dan PSB: Survival Melayu Bandar bertempat di bangunan Umno esok.

Katanya, mengadakan himpunan tanpa memberikan cadangan terbaik kepada kerajaan hanya akan mendatangkan keburukan bukannya kebaikan.

“Kita nak terbaik untuk rakyat. Saya ajak NGO atau parti apa sekalipun duduk semeja cari satu solusi untuk dikemukakan kepada kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Pemuda PAS menyasarkan kehadiran lebih 50,000 peserta dalam himpunan mendesak pembatalan pembentangan RUU PSB di Kuala Lumpur 4 Okt depan.

Timbalan Ketuanya Mohd Hafez Sabri berkata bagi menjayakan perhimpunan itu, pihaknya akan menghantar surat jemputan rasmi kepada Umno serta parti politik lain.

Menurutnya, Pemuda PAS juga akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu masyarakat sivil bagi memperkukuh usaha menolak RUU berkenaan menerusi himpunan yang lokasinya bakal diumumkan kemudian.

RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar mampan.

Bagaimanapun, bacaan seterusnya, perbahasan dan pengundian ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang untuk mendapatkan maklum balas lebih lanjut.

Sebelum ini, himpunan membantah PSB dirancang oleh Pemuda PAS pada Jun lalu namun terpaksa ditangguhkan susulan penangguhan sidang Dewan Rakyat.

Ia sekali lagi ditunda dan digantikan dengan perhimpunan anjuran pembangkang pada 26 Jul lalu.

Awal bulan ini, Setiausaha Agung Umno berkata parti itu akan menganjurkan Konvensyen Melayu Bandar yang antaranya akan membincangkan langkah tambah baik PSB oleh pasukan khas diketuai Naib Presiden Johari Ghani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.