Anggota polis tercampak keluar kereta selepas dilanggar pengedar dadah

Anggota polis tercampak keluar kereta selepas dilanggar pengedar dadah

Tiga suspek itu ditahan polis selepas kenderaan mereka terhenti akibat melanggar dua kereta lain.

Proton Wira berwarna hijau yang dinaiki tiga lelaki disyaki pengedar dadah terhenti selepas melanggar dua kereta lain di Taman Murni Sepang semalam. (Gambar PDRM)
PUTRAJAYA:
Seorang anggota polis cedera ringan selepas tercampak keluar dari kereta yang dilanggar kenderaan dinaiki tiga lelaki disyaki pengedar dadah di Taman Murni, dekat Sepang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah mengekori sebuah Proton Wira berwarna hijau yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan pada 5.30 petang.

Katanya, ketika anggotanya hendak menghentikan kereta suspek, suspek cuba melarikan diri dengan mengundur secara laju sehingga melanggar sebuah Perodua Kancil dan Proton Waja tidak jauh dari situ.

“Dalam usaha melepaskan diri, suspek juga melanggar kereta dinaiki pasukan polis sehingga menyebabkan seorang anggota tercampak keluar dan lebam di kepala serta kaki.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 20 hingga 29 tahun itu ditahan, selepas Proton Wira yang mereka naiki tersekat dan berhenti kerana melanggar dua kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan.

Wan Kamarul berkata, polis turut merampas dua paket plastik yang dipercayai mengandungi syabu dianggarkan seberat 10.30g yang bernilai RM1,000 dan Proton Wira dinaiki suspek.

Hasil ujian saringan air kencing ke atas tiga suspek itu mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku terlibat dalam aktiviti mengedar dadah sejak dua tahun lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 353/188 kanun keseksaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.