Geran syarikat isteri dilulus 2017, kata setiausaha politik Wan Junaidi

Geran syarikat isteri dilulus 2017, kata setiausaha politik Wan Junaidi

Syed Hamzah Syed Paie berkata, geran berjumlah RM338,950 diluluskan SME Corp kepada Azzahra Product Sdn Bhd empat tahun lalu dan beliau beliau hanya mula berkhidmat di Medac tahun lalu.

Syed Hamzah Syed Paie menunjukkan laporan yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Syed Hamzah Syed Paie, membuat laporan polis terhadap dakwaan dua portal berita antarabangsa mengaitkannya dengan kelulusan geran kementerian itu kepada syarikat milik isterinya.

Syed Hamzah membuat laporan polis terhadap Malaysia Chronicles dan Sarawak Report kerana menyebarkan berita palsu serta fitnah terhadap dirinya dan Menteri Medac, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, geran berjumlah RM338,950 diluluskan SME Corp kepada syarikat isteri, Azzahra Product Sdn Bhd, empat tahun lalu dan Wan Junaidi serta beliau hanya mula berkhidmat di Medac tahun lalu.

“Geran itu tidak ada kaitan dengan Wan Junaidi selaku menteri Medac, termasuk diri saya sendiri sebagai setiausaha politik kepadanya,” katanya dipetik Bernama selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Beliau berkata, laporan di kedua-dua portal itu yang diterbitkan 3 Mei lalu itu tidak berasas dan cuba memfitnahnya mempunyai kepentingan dalam Azzahra Product, sedangkan beliau meletak jawatan dan menjual sahamnya di syarikat itu sejak 2015.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan menerima laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.