Jalan ke arah pemulihan masih jauh, kata kumpulan perniagaan

Jalan ke arah pemulihan masih jauh, kata kumpulan perniagaan

Kelonggaran peraturan boleh mengurangkan kesan buruk PKP pertama, tetapi sekatan pergerakan akan mengekang ekonomi tempatan.

PKP dan penutupan sempadan akan terus memberi kesan besar ke atas ekonomi.
PETALING JAYA:
Ekonomi mungkin tidak merosot seperti yang berlaku pada suku kedua tahun lepas, tetapi kumpulan perniagaan berkata, negara akan terus bergelut untuk bernafas.

Mereka berkata, jalan menuju pemulihan masih jauh.

Dalam laporan ekonomi suku tahunannya, Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) berkata, 2021 merupakan tahun pemulihan dengan kesan buruk pandemik Covid-19 berjaya diatasi.

“Namun saya lihat pencapaian yang tidak sekata dalam sesetengah sektor perlu dipantau oleh kerajaan bagi memastikan pemulihan lebih merata dan mampan sehingga tahun depan,” kata pengarah eksekutif SERC Lee Heng Guie.

Pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia Shaun Cheah berkata, pelbagai perintah sekatan pergerakan yang dilaksanakan tahun ini lebih longgar berbanding Mac lepas.

Justeru katanya, kesannya ke atas ekonomi tidaklah terlalu buruk.

Dengan kebanyakan syarikat terus dibuka, aliran tunai kurang terjejas tahun ini, sekali gus tidak banyak perniagaan yang terpaksa ditutup.

Bagaimanapun kata Cheah, kurang pergerakan susulan penutupan sempadan dan perjalanan rentas daerah akan terus memberi kesan besar ke atas ekonomi secara keseluruhan.

“Aktiviti ekonomi bergantung pada pergerakan orang ramai, dengan pelancongan domestik menyediakan kesan berantai kepada ekonomi yang lebih luas.

“Sektor industri terus berjalan dan eksport negara kukuh, namun ekonomi domestik sangat penting kepada pemulihan ekonomi secara keseluruhan untuk memulihkan pendapatan negara.”

Cheah berkata, kebanyakan pemain industri pelancongan yang lebih kecil akan tutup kedai, sementara mereka yang dapat bertahan hanya akan pulih menjelang 2023.

Setiausaha Agung Persatuan Ejen Pelancongan dan Kembara Malaysia Nigel Wong berkata, pendapat bahawa tempoh masa buruk yang dilalui oleh industri pelancongan telah berlalu jelas tidak tepat kerana ia sebenarnya berada di tahap paling rendah sekarang.

Walaupun industri lain mungkin lebih baik, namun sekatan rentas negeri menjadikan pemulihan bermakna sukar dicapai dalam keadaan permintaan pengguna tidak menentu.

“Ketika PKP pertama dan kedua, kita lihat tempahan hotel melonjak sebaik sahaja pergerakan dibenarkan, tetapi permintaan ini kemudiannya berkurang,” kata Wong.

“Perkara sama mungkin akan berlaku kali ini.”

Katanya, semua pihak dalam industri itu tertunggu-tunggu kesan positif program imunisasi kebangsaan dan mengharapkan “masa depan yang lebih baik” akan berlaku.

“Kami amat berharap PKP 3.0 kali ini tidak berlanjutan dan kerajaan berjaya mengawal penularan wabak dalam tempoh itu.

“Kami bimbang jika ia tidak dapat dibendung sekarang, maka aktiviti pelancongan pada masa depan, sewaktu cuti sekolah atau cuti panjang, akan terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.