Majlis itu sepatutnya disaksikan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, bagaimanapun beliau tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi ini.
Acryl menggantikan Abdul Hamid Bador yang bersara hari ini selepas dua tahun memegang jawatan Ketua Polis Negara.
Acryl, 59, dilantik sebagai timbalan ketua polis negara pada Ogos tahun lalu bagi menggantikan Mazlan Mansor yang bersara wajib.
Anak kelahiran Petaling Jaya itu memiliki Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menyertai polis pada 2 Feb 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP).
Beliau antara lain pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.
Hamid dalam ucapannya bimbang polis masih bergelut dengan perang persepsi dalam kalangan rakyat yang sedikit sebanyak menjejaskan imejnya.
Walaupun dirinya gembira dan lega kerana bakal menikmati masa berkualiti mulai esok, namun hatinya gusar memikirkan persepsi masyarakat tentang badan beruniform berkenaan walaupun mereka sedaya upaya memberikan khidmat terbaik.
“Kita mungkin tidak dapat memuaskan hati 32 juta rakyat namun kita boleh meningkatkan sistem penyampaian. Laksanakan tugas dengan penuh integriti dan sentiasa berpegang kepada ‘amar ma’ruf nahi mungkar’,” katanya.
Hamid turut berharap kerajaan tumpu kepada peningkatan aset dan pertambahan sumber manusia polis.
“Kita harus menyedari hakikat cabaran jenayah kini yang dimensinya semakin kompleks seperti ‘scammer’, judi, dan dadah,” katanya.
Sementara itu, Hamzah dalam ucapannya yang dibacakan Ismail berkata kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Hamid atas perkhidmatannya kepada masyarakat dan negara.
Beliau turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan Acryl dan yakin mampu memikul tanggungjawab dengan sebaiknya berdasarkan kepada pengalaman luasnya.