
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Zainuddin Yaacob yang mengesahkan perkara berkenaan berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Siasatan akan diteruskan walaupun mahkamah tidak membenarkan reman,” kata Zainuddin ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, ahli perniagaan itu Chung Chee Yang, 44 dan pembantu peribadinya Choo Hin Voon, 43, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas tujuh pertuduhan antaranya memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya menggunakan pistol.
Semalam, Chung sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret atas empat tuduhan memukul mangsa sama, beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Media sebelum ini melaporkan dua pengawal peribadi cedera selepas dirotan dan diugut bunuh menggunakan pistol oleh majikan dipercayai akibat perselisihan faham berkaitan puasa.