1 lagi anggota geng ‘Captain Praba’ ditahan, kata KPN

1 lagi anggota geng ‘Captain Praba’ ditahan, kata KPN

Khalid Ismail berkata suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya telah menahan 17 anggota kumpulan penjenayah geng ‘Captain Praba’ setakat ini manakala 15 lagi yang ‘bebas’ sedang dikesan. (Gambar Bernama)
GOMBAK:
Polis berjaya membawa pulang seorang lagi anggota kumpulan jenayah dikenali sebagai geng ‘Captain Praba’, dari Thailand semalam.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu tiba di Malaysia pada 10.30 malam hasil kerjasama erat dengan pihak berkuasa Thailand.

“Hari ini kita akan bawa (suspek) ke mahkamah untuk permohonan reman,” katanya selepas menghadiri Program Community Policing sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Tambahnya, pihaknya telah menahan 17 anggota kumpulan penjenayah tersebut setakat ini manakala 15 lagi yang ‘bebas’ sedang dikesan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar dilaporkan berkata pihaknya tidak akan berhenti memburu sehingga ketua dan dalang utama kumpulan jenayah berkenaan berjaya ditangkap.

Katanya, geng ‘Captain Praba’ mempunyai 33 ahli dan didalangi seorang rakyat Malaysia.

Tiga suspek ditahan di Mumbai, India, Ahad lalu selepas gagal memasuki United Kingdom. Ketiga-tiga mereka, yang diekstradisi ke Malaysia pada Rabu, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Pada September lalu, Khalid berkata kumpulan itu, yang aktif sejak 2023 terlibat dalam beberapa jenayah ganas termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, pembakaran dan rompakan berkumpulan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut mengesahkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ ditahan semalam selepas dipercayai mengganggu ketenteraman awam semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan direman selama satu hari.

“Ada di antaranya berlaku pertengkahan dengan peniaga-peniaga di sini,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 14 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.