
Pengarah JPN Kelantan Zulkernai Fauzi berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Khas Kelantan – Penguatkuasaan Covid-19 petang semalam.
Beliau berkata jawatankuasa mencadangkan kepada JPN supaya menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di tujuh jajahan yang dilaksanakan PKP.
“Cadangan ini dipertimbangkan dan dengan mengambil kira situasi semasa, KPM membuat ketetapan bahawa semua sekolah yang berada dalam jajahan PKP diarah tutup bagi tempoh tujuh hari mulai 18 hingga 24 April.
“Selaras dengan keputusan itu, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkernai berkata, arahan itu akan dimaklumkan kepada semua pentadbir sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan selanjutnya.
Serentak itu juga, beliau berkata, guru hendaklah dipastikan dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.
Jelasnya pada masa sama semua Pegawai Pendidikan Daerah hendaklah terus membuat pemantauan semua sekolah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dipatuhi.
Rabu lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh kawasan di Kelantan, iaitu jajahan/daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah dikenakan PKP bermula 16 hingga 29 April.