Pengetua, penolong kanan, warden sekolah Zara Qairina dipindah ke JPN Sabah

Pengetua, penolong kanan, warden sekolah Zara Qairina dipindah ke JPN Sabah

KPM umum langkah sementara sehingga polis selesai siasat kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha itu.

Zara Qairina
Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah, sebelum meninggal dunia keesokannya.
PETALING JAYA:
Pengetua, penolong kanan hal ehwal murid, dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, kata Kementerian Pendidikan.

Dalam kenyataan, langkah itu dibuat sehingga siasatan polis melibatkan kes kematian Zara Qairina Mahathir selesai.

“Keputusan ini diambil susulan pengumuman polis bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarhamah Zara Qairina.

“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini,” katanya.

KPM memberi jaminan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti, dan tuntas.

“KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat.”

Tiga hari lalu, jenazah Zara digali semula untuk bedah siasat selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis menyiasat lanjut kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Kelmarin, Bukit Aman mengumumkan akan mengambil alih siasatan kes berkenaan.

Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Dia meninggal dunia di hospital keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.