
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, menegaskan tiada sekolah di negara ini bermasalah, sebaliknya setiap isu yang menyentuh keselamatan pelajar akan diberi perhatian serius.
“Sekolah di Malaysia ini semua tak ada masalah. Alhamdulillah. Cuma berlakulah sedikit (kejadian). Tapi apa yang saya tegaskan, apa pun berlaku yang mengancam keselamatan pelajar kita, KPM tetap akan pandang serius,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.
Dalam kejadian sekitar 9.30 pagi tadi, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di SMK Bandar Utama Damansara (4) dilaporkan maut selepas ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Suspek dikatakan membawa senjata tajam dipercayai pisau ke sekolah.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata suspek sudah ditahan dengan motif kejadian masih disiasat.
Kedua-dua suspek dan mangsa belajar di kelas peralihan masing-masing di Tingkatan 1 dan Tingkatan 3.
Dalam pada itu, Azam memaklumkan pentadbir sekolah yang terlibat akan dipindahkan ke pejabat pendidikan daerah (PPD) sementara siasatan dijalankan bagi memastikan proses berjalan lancar.
“(Selain itu) pasukan kaunselor dan guru bimbingan kaunseling telah digerakkan bagi melaksanakan program intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan.
“KPM berikrar, kami akan menggandakan usaha sedaya upaya untuk memperbaiki kelemahan sedia ada untuk memastikan kawasan sekolah adalah kawasan selamat untuk anak-anak,” katanya.
Semantara itu, Azam mengingatkan orang ramai tidak menyebarkan gambar mangsa dan pelaku kerana ia membabitkan kanak-kanak bawah umur.
“Kita ada akta berkaitan anak-anak bawah umur dan kita kena kendalikan, uruskan berdasarkan akta yang ada tersebut. Jadi, saya menyeru mana-mana pihak yang ada maklumat, sila kemukakan maklumat itu kepada polis,” katanya.