Inkues Zara: Laporan siasatan dalaman sekolah tak diserah kepada sesiapa

Inkues Zara: Laporan siasatan dalaman sekolah tak diserah kepada sesiapa

Saksi beritahu Mahkamah Koroner, laporan hanya disimpan dalam fail unit disiplin, tidak dikemukakan kepada PPD, JPN, KPM, polis mahupun pengetua.

zara qairina
Zara Qairina Mahathir, 13 disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Mahkamah Koroner diberitahu hari ini bahawa laporan hasil siasatan dalaman kes Zara Qairina Mahathir tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya disimpan di dalam fail khas di unit disiplin SMKA Tun Datu Mustapha.

Penolong Ketua Guru Disiplin Nurul Syahadah Ibrahim, 38, turut mengesahkan bahawa laporan berkenaan tidak dikemukakan kepada pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN), Kementerian Pendidikan (KPM), polis mahupun pengetua sekolah itu sendiri.

Menjawab soalan peguam Clarice Vyone Conrad, yang mewakili bapa Zara Qairina, saksi itu bersetuju bahawa laporan berkenaan sepatutnya diserahkan kepada pengetua dalam apa jua keadaan kerana menjadi tanggungjawab pengetua untuk tahu setiap perkara yang berlaku di sekolah.

“Ya, benar. Guru Besar perlu dimaklumkan walaupun kes kecil … saya sandarkan perkara ini kepada khilaf saya sendiri … laporan siasatan dalaman ini hanya diketahui oleh unit disiplin sahaja, dan kami menjaga kerahsiaan walaupun berada dalam sekolah yang sama … kami beranggapan laporan itu hanyalah untuk simpanan dalaman unit disiplin.

“Salinan laporan itu juga tidak diberikan kepada pengetua kerana beliau tidak lagi berada di sekolah, dan kami jarang bertemu untuk menyerahkannya sendiri,” kata saksi ke-54 itu pada prosiding inkues kematian Zara Qairina, 13, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Clarice: Sejak bila pengetua tidak lagi berada di sekolah?

Nurul Syahadah: Seingat saya, sejak Ogos tahun ini.

Clarice: Ketika laporan bertarikh 16 dan 17 Julai, pengetua masih berada di sekolah, kan?

Nurul Syahadah: Masih ada, saya yang terlepas pandang.

Clarice: Tadi cikgu kata ini kes serius, bagaimana boleh terlepas pandang?

Nurul Syahadah: Benar, ini kes serius tetapi pada ketika itu, kami sangat ‘struggle’ dengan tugas dan peranan masing-masing … Ya, laporan bertarikh 16 dan 17 Julai, saya sendiri terlepas pandang untuk menyerahkannya kepada pengetua kerana terlalu fokus kepada siasatan dalaman.

Beliau juga berkata, laporan itu hanya untuk rekod dalaman sekolah dan bukan untuk pihak berkuasa, serta mengakui kemungkinan menyerahkannya jika diminta berbuat demikian oleh pihak polis.

Semalam, Nurul Syahadah berkata, siasatan dalaman itu dijalankan pada 16 dan 17 Julai serta 4, 5 dan 13 Ogos lepas, membabitkan beberapa pelajar termasuk lima individu yang dikatakan orang terakhir melihat Zara Qairina.

Katanya, siasatan itu dijalankan melalui sesi soal jawab dan pernyataan bertulis para saksi.

Prosiding hari ini dipendekkan berikutan PRN Sabah ke-17 yang berlangsung esok, dan akan bersambung pada Isnin.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.