
Pegawai Program Artikel 19 Malaysia, Nalini Elumalai berkata komuniti LGBT tidak boleh dikecualikan daripada komitmen kerajaan untuk menegakkan hak asasi manusia buat semua tanpa diskriminasi, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Marginalisasi yang didorong oleh sikap tidak bertoleransi dan kejahilan akan terus mewujudkan halangan dalam usaha mencapai kesaksamaan dan peluang bagi komuniti LGBT.
“Kerajaan juga perlu mengubah undang-undang yang menganggap LGBT sebagai jenayah dan menerapkan dasar progresif yang melindungi dan memperkasa masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Nalini turut menuduh pihak berkuasa menggunakan “kecaman masyarakat dan undang-undang diskriminasi” untuk menyasarkan individu berdasarkan orientasi seksual atau identiti jantina mereka.
“Ketika masyarakat saling bersatu untuk membendung pandemik, penguatkuasa menggunakan undang-undang sebagai senjata untuk terus menekan LGBT.”
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad berkata, Putrajaya akan meneruskan dan meningkatkan had hukuman bawah Akta 355, yang kini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000, dan enam sebatan rotan.
Zulkifli memberitahu, pindaan akta itu mungkin dibentangkan dalam persidangan Parlimen berikutnya kerana budaya LGBT “bertentangan dengan undang-undang Islam dan sifat manusia”.
Timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary, sebelum ini dilaporkan berkata pindaan itu harus dilihat sebagai perlu bagi menangani “salah laku” LGBT dan tindakan diambil terhadap mereka yang berpakaian bertentangan dengan jantina.