
Dalam ucapan di perhimpunan membantah rang undang-undang itu hari ini, bekas menteri Noh Omar memuji tindakan Umno yang meluluskan resolusi untuk menangguhkan pembentangan RUU PSB sehingga dikaji semula.
Bekas ketua Umno Selangor itu bagaimanapun berkata seharusnya bukan ditangguhkan sebaliknya Umno perlu membantah RUU PSB.
“Saya ada satu persoalan. Mana-mana akta nak bawa ke Parlimen mesti diluluskan di dalam Jemaah Menteri
“Jika ada satu atau dua menteri tak setuju, akta PSB tidak boleh dibawa ke Jemaah Menteri. Jadi dalam Jemaah Menteri ada tujuh menteri Umno. Mesti teguh tolak bukan tangguh,” katanya.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut mengucapkan terima kasih kepada Umno kerana meluluskan resolusi itu dan menyeru bersama-sama menolak akta tersebut di Parlimen.
“Kita akan menolak apa cara pun di Parlimen. Kami (pembangkang) Ahli Parlimen terhad. Yang boleh tentukan PSB ditolak adalah tuan dan puan, rakyat Malaysia,” katanya.
Antara cadangan diusulkan konvensyen itu adalah memastikan hanya pemaju benar-benar berwibawa dan kukuh kewangan dibenarkan melaksanakan projek, dengan penguatkuasaan ketat seperti Bon Pelaksanaan dan penalti lewat siap (LAD).
Konvensyen juga mahu pampasan kepada pemilik rumah melibatkan nilai penuh hartanah, kos gangguan semasa pemindahan, serta pampasan akibat kehilangan pendapatan – bukan semata-mata berdasarkan nilai pasaran semasa.
Nilai ambang persetujuan juga dicadangkan sekurang-kurangnya 95% persetujuan diperlukan bagi bangunan berusia kurang 50 tahun dan 90% bagi yang lebih lama.
Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan RUU PSB, Johari Ghani, berkata draf awal dilihat terlalu banyak kelompangan dan tidak memberikan perlindungan menyeluruh kepada pemilik, malah berisiko membuka ruang kepada penyingkiran komuniti sedia ada.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin pula berkata bantahan terhadap PSB bukan hanya untuk bangsa tertentu tetapi keadilan bagi semua rakyat.
“Saya sebagai ketua pembangkang telah bawa isu ini ke Parlimen dan tolak Akta PSB.
“Malah perdana menteri (Anwar Ibrahim) juga telah berjanji bahawa PSB boleh diubah jika mahu keadilan,” katanya.