Perak mahu Mahkamah Syariah lebih mesra rakyat, kata MB

Perak mahu Mahkamah Syariah lebih mesra rakyat, kata MB

Saarani Mohamad berkata setiap bangunan Mahkamah Syariah di Perak direka bentuk dengan teliti, termasuk Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah diletak bawah satu bumbung.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata inisiatif kerajaan negeri memperkasakan peranan Mahkamah syariah tidak terhenti setakat menyediakan kemudahan semata-mata. (Gambar Facebook)
IPOH:
Kerajaan negeri melalui Jabatan Kehakiman Syariah Perak sentiasa berusaha menyantuni masyarakat memerlukan perkhidmatan perundangan syariah lebih cekap dan pantas dengan menjadikan Mahkamah Syariah lebih mesra rakyat.

Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata bagi memastikan rakyat lebih mudah mendapat akses keadilan syariah, setiap bangunan Mahkamah Syariah di Perak direka bentuk dengan teliti, termasuk menempatkan kedua-dua bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah di bawah satu bumbung.

Menurutnya, pendekatan inovatif itu bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kehakiman syariah, selain menyediakan kemudahan lengkap, antaranya pejabat pendaftaran serta dewan bicara untuk ketiga-tiga mahkamah.

Tiga mahkamah itu ialah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Syariah.

“Sungguhpun begitu, inisiatif kerajaan negeri untuk memperkasakan peranan Mahkamah syariah tidaklah terhenti setakat menyediakan kemudahan semata-mata. Ia sentiasa ditambah baik, keadaan premis mahkamah khususnya melibatkan bangunan lama, kemudahan serta peralatan usang sentiasa diganti.

“Langkah itu dilakukan supaya lebih praktikal (bangunan serta kemudahan) dan sesuai dengan perkembangan teknologi terkini. Ini semua dibuat untuk membolehkan orang ramai lebih mesra dengan Mahkamah Syariah dan yakin kepada urusan Mahkamah Syariah di Perak,” katanya ketika sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau menjawab soalan Salina Samsudin (BN-Behrang) yang mahu tahu langkah kerajaan negeri untuk memastikan dan mendekatkan lagi perkhidmatan kehakiman syariah kepada rakyat.

Sementara itu, Saarani berkata, peratusan baki kes berkaitan perceraian juga sentiasa terkawal, di mana pada 2023 hanya 0.2% kes berkaitan tidak selesai dan dipantau petunjuk prestasi utama (KPI) penyelesaian dengan jumlah 23 kes daripada keseluruhan 12,501 kes dalam prosiding.

“Pada 2024, jumlah baki kes berkaitan perceraian yang dipantau penyelesaiannya menurun kepada hanya 0.01% dengan hanya 10 daripada keseluruhan 13,373 kes dalam prosiding.

“Pada 2025, 36 kes disenaraikan dalam KPI pemantauan penyelesaian kes berkaitan perceraian dan hingga Jun lalu, 50% daripada jumlah itu telah diselesaikan dengan baki 18 kes.”

Beliau menjawab soalan asal Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) berhubung langkah pihak berkuasa berkaitan menangani kes tertunggak di Mahkamah Syariah dan inisiatif mempercepat proses serta mengurangkan beban kes tertunggak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.