Anak kepada seorang wanita warga Filipina dan seorang lelaki Punjabi tempatan, Nalvin pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk memohon kad pengenalannya (MyKad), namun diberitahu tidak layak kerana ibunya, yang pulang ke Filipina tidak lama selepas dia dilahirkan, bukan rakyat Malaysia.
“Kalau saya nak senaraikan (masalah), satu hari tak habis,” katanya, kerana tidak dapat hak seorang warganegara yang kebanyakan orang sering ambil mudah.
Tanpa akses ke pinjaman kerajaan untuk pendidikannya, memohon lesen memandu atau malah membuat akaun bank, Nalvin terpaksa mencari jalan lain, seperti dengan meminta keluarga dan rakan untuk menyediakan pengangkutan dan berkongsi akaun bank dengan ayahnya.
“Paling penting bagi semua orang adalah kesihatan, tetapi saya tidak dapat perkhidmatan perubatan percuma (dari klinik kerajaan), saya perlu bayar lebih dari RM100 hanya untuk pendaftaran, belum masuk ubat-ubatan lagi.”
“Bila saya sakit, banyak kali juga saya tak ke hospital kerana mereka mungkin akan banyak soal dan saya perlu bayar lebih. Ibu saudara saya bekerja di farmasi, jadi dia membantu dengan mendapatkan panadol atau antibiotik supaya saya boleh sembuh di rumah.”
Lantaran khuatir disoal atau dimusuhi, Nalvin berusaha mengurangkan kontak dengan pihak penguatkuasaan undang-undang.
Nalvin pernah cuba mendapatkan bantuan NGO dan ahli politik, namun tidak berhasil.

Tanpa proses mendapatkan kewarganegaraan langkah demi langkah, seperti di negara lain, Nalvin berkata dia dan ramai yang senasib tidak banyak pilihan, tanpa mengira sejauh mana betul dakwaan mereka.
Kes Nalvin kini di mahkamah.
Dia berharap bukan sahaja boleh mendapatkan MyKad bersama-sama dengan hak yang sepatutnya, tetapi juga dapat memangkin perubahan bagi ratusan ribu orang sepertinya yang kebuntuan.
“Ini bukan lagi tentang saya seorang. Apa maknanya satu masalah selesai tapi ribuan lagi menderita?
“Saya harap kerajaan dapat selesaikan semua masalah yang dihadapi orang tidak bernegara. Saya tidak mahu mereka rasa lahirnya mereka di sini suatu kesilapan.”