Bekas presiden bank antara 4 yang ditangkap SPRM

Bekas presiden bank antara 4 yang ditangkap SPRM

Mereka disiasat berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah SGD3.1 juta sebagai komisyen bagi meluluskan pinjaman RM400 juta untuk sebuah syarikat.

Empat individu itu dikatakan menerima rasuah daripada pinjaman RM400 juta untuk projek yang tidak wujud. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Seorang bekas presiden bank dan tiga yang lain telah ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pinjaman RM400 juta untuk projek yang tidak wujud.

Sumber memberitahu, bekas presiden bank itu, yang bergelar “Datuk” juga pengarah urusan bank berkenaan. Keempat-empat suspek berusia antara 49 dan 53 tahun.

“Mereka ditangkap di sekitar Kuala Lumpur petang semalam. Mereka difahamkan telah menerima rasuah berjumlah SGD3.1 juta sebagai komisyen untuk meluluskan pinjaman RM400 juta untuk sebuah syarikat.

“Ini perbuatan licik dengan kerjasama orang dalam iaitu sengaja mewujudkan projek yang tidak sah dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan.”

Setelah pinjaman diluluskan, syarikat itu ditutup dan projek itu tidak dilaksanakan.

“Bekas presiden itu dikatakan telah memberikan izin khas untuk meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan usaha wajar.”

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan penangkapan tersebut. Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah reman, dengan penahanan selama tiga hari dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.