
Anwar berkata, walaupun kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan ‘tegas dan menyeluruh’ perlu diambil.
Beliau berkata, semua proses perolehan juga mesti dikaji dan dipinda bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang.
“(Tanpa tindakan sedemikian), kita akan menanggung bala dan kesan buruk terhadap ekonomi rakyat.
“Kalau RM10 juta atau RM20 juta diambil cara tidak sah, jumlah itu sepatutnya digunakan untuk kerja pasukan tentera atau projek-projek kecil lain,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju.
Angkatan tentera baru-baru ini menjadi tumpuan susulan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai kanan, khususnya berkaitan projek dan tender perolehan ketenteraan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya akan mencadangkan pertuduhan jenayah terhadap beberapa pegawai kanan susulan siasatan melibatkan seorang pegawai tertinggi angkatan tentera dan satu kartel dikaitkan dengan kontrak perolehan tentera.
Bagi siasatan kontrak perolehan, Azam memaklumkan SPRM menyita RM1.3 juta wang tunai, RM721,000 mata wang asing dan 66 kepingan emas bernilai RM1.7 juta. Agensi itu turut membekukan akaun bank dengan nilai keseluruhan RM4.7 juta.
Azam turut berkata, siasatan SPRM terhadap kartel kontrak perolehan itu amat sensitif, bukan sahaja kerana melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi juga kerana kedudukan tinggi pegawai terlibat.