Bung bebas tuduhan rasuah, balu akan jawab dakwaan subahat

Bung bebas tuduhan rasuah, balu akan jawab dakwaan subahat

Jabatan Peguam Negara menolak representasi Zizie Izette Abdul Samad.

Bung Moktar Radin and wife Zizie Izette Abdul Samad
Zizie Izette Abdul Samad, balu Bung Moktar Radin akan memberi keterangan untuk menjawab tuduhan bersubahat Mac ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Zizie Izette Abdul Samad, balu pemimpin Umno, Bung Moktar Radin untuk menggugurkan tiga pertuduhan rasuah berhubung skim pelaburan Felcra bernilai RM150 juta 11 tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad berhubung penolakan representasi yang difailkan bulan lalu.

“AGC telah meneliti representasi itu. Kami mahu pihak pembelaan meneruskan kes mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap Bung menyebabkan hakim mengarahkan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan dan Adun Lamag itu dibebaskan.

Hakim menetapkan 5, 6 dan 12 Mac ini untuk Zizie memberi keterangan dan disoal balas pihak pendakwaan atas tuduhan bersubahat.

Rosli turut mengarahkan jaminan RM100,000 yang dibayar untuk memastikan kehadiran Bung di mahkamah dipulangkan.

Pada 3 Mei 2019, Bung didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapat kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati pada 12 dan 19 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan sama.

Pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Zizie berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung berkaitan dakwaan itu di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Bung dan Zizie diperintahkan membela diri pada 18 Nov 2024.

September lalu, Bung memberi keterangan sebagai saksi pembelaan selama dua hari.

A Ashok mewakili Bung, manakala Teh See Koon mewakili Zizie.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.