SPRM cadang dakwa beberapa pegawai dalam siasatan perolehan tentera

SPRM cadang dakwa beberapa pegawai dalam siasatan perolehan tentera

Azam Baki berkata, pasukannya akan serah kertas siasatan lengkap kepada pihak pendakwaan selewat-lewatnya Isnin.

Azam Baki enggan dedah jumlah kontrak perolehan sedang disiasat atau skala siasatan kerana tidak mahu mensensasikan isu berkenaan.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan pertuduhan jenayah terhadap beberapa pegawai kanan susulan siasatan melibatkan seorang pegawai tertinggi angkatan tentera dan satu kartel dikaitkan dengan kontrak perolehan tentera.

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki berkata agensi itu akan mencadangkan pertuduhan terhadap ‘seorang atau dua pegawai’ dalam siasatan pertama, manakala ‘sekurang-kurangnya dua orang’ lagi dalam siasatan kedua.

“Kami akan menyerahkan semua kertas siasatan yang telah lengkap kepada pihak pendakwaan pada Isnin depan. Jika ada pertuduhan yang akan dikenakan, saya akan memaklumkan kepada media.

“Ia juga bergantung kepada timbalan pendakwa raya. Mereka mungkin mengenal pasti individu lain untuk didakwa sebagai bersubahat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan jumlah kontrak perolehan terlibat atau skala keseluruhan siasatan, dengan alasan tidak mahu mensensasikan perkara tersebut.

“Apa yang penting buat masa ini ialah siasatan utama akan diselesaikan menjelang Isnin,” katanya.

Azam berkata, siasatan SPRM terhadap kartel kontrak perolehan itu amat sensitif, bukan sahaja kerana melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi juga kerana kedudukan tinggi pegawai yang terlibat.

Katanya, setakat ini SPRM merakam keterangan 30 saksi berhubung siasatan ke atas pegawai kanan tentera terbabit, selain menahan 27 kontraktor untuk membantu siasatan.

Menurut Azam, SPRM setakat ini telah menyita aset bernilai RM11.4 juta, merangkumi RM4.4 juta wang tunai dan RM1.4 juta mata wang asing, serta emas dalam bentuk jongkong, medalion dan syiling dinar bernilai sekitar RM2.6 juta.

SPRM juga membekukan 75 akaun syarikat bernilai keseluruhan RM32.5 juta.

“Semua wang tunai tersebut dirampas di sebuah kediaman di Kuala Lumpur dan sebuah lagi di Besut, Terengganu,” katanya.

Bagi siasatan kontrak perolehan, Azam memaklumkan, SPRM telah menyita RM1.3 juta wang tunai, RM721,000 mata wang asing dan 66 kepingan emas bernilai RM1.7 juta. Agensi itu turut membekukan akaun bank dengan nilai keseluruhan RM4.7 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.