Persatuan dakwa peniaga ditawar bayaran sewa untuk sedia meja judi

Persatuan dakwa peniaga ditawar bayaran sewa untuk sedia meja judi

Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru menasihatkan peniaga restoran tidak mengambil jalan pintas menerima tawaran tauke judi untuk melepaskan bebanan mereka.

Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru mendakwa ada individu meletakkan syarat peniaga restoran perlu membuka perniagaannya sepenuh masa dan memberi jaminan tidak perlu bimbang kerana aktiviti perjudian dan kawasan itu dilindungi pihak tertentu.
JOHOR BAHRU:
Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB) mendakwa ada individu menawarkan peniaga restoran di bandar raya ini untuk membayar sewa bulanan premis mereka dengan syarat menyediakan meja khas untuk aktiviti perjudian dalam talian.

Setiausaha PPPPIKMJB, Mohammad Salezan Mohd Salleh berkata, malah individu terbabit juga meletakkan syarat peniaga perlu membuka perniagaannya sepenuh masa dan memberi jaminan tidak perlu bimbang kerana aktiviti perjudian dan kawasan itu dilindungi pihak tertentu.

“Persatuan (PPPPIKMJB) menerima laporan daripada beberapa peniaga yang mendakwa terdapat kegiatan perjudian dalam talian melibatkan premis perniagaan, terutamanya restoran di sekitar bandar raya ini.

“Kita sedia maklum semua sektor perniagaan mengalami kemerosotan pendapatan, termasuk pengusaha restoran kerana terpaksa menanggung bebanan sewa bulanan premis. Akibat itu, ‘tauke judi’ mengambil kesempatan mengembangkan aktiviti perjudian mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan berharap pihak berkuasa, khasnya polis akan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan perjudian dalam talian, sekiranya kegiatan terbabit benar-benar berlaku.

Salezan menasihatkan masyarakat, terutamanya peniaga restoran di bandar raya ini tidak mengambil jalan pintas dengan menerima tawaran tauke judi terbabit untuk melepaskan bebanan dan akhirnya merosakkan aktiviti perniagaan yang dijalankan selama ini.

“Persatuan bimbang sekiranya aktiviti terbabit dibiarkan berlaku, ia akan menyebabkan masalah sosial, keruntuhan rumah tangga dan seterusnya merosakkan bangsa dan negara.

“Berpegang teguhlah kepada prinsip agama dan berusahalah untuk mendapatkan pendapatan lebih berkat. Jauhilah perniagaan yang mempunyai hubungan dan unsur perjudian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.