Adakan libat urus penempatan gerai MyKiosk, peniaga beritahu kerajaan

Adakan libat urus penempatan gerai MyKiosk, peniaga beritahu kerajaan

Peniaga makanan menyambut baik inisiatif kerajaan, tetapi gerai perlu ditempatkan di lokasi sesuai.

Muhamad Alvan Adri
Pengusaha trak makanan mi Bakso Alvan Adri berkata gerai MyKiosk akan meringankan beban kerjanya kerana tidak perlu membawa pulang peralatannya setiap hari dan memasangnya semula keesokannya.
PETALING JAYA:
Peniaga makanan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur dan Taman Alam Megah, Selangor menggesa pihak berkuasa mengadakan libat urus dengan mereka bagi memastikan gerai MyKiosk ditempatkan di lokasi strategik.

Tinjauan FMT baru-baru ini menunjukkan majoriti pengusaha trak makanan atau gerai kanopi di dua lokasi itu menyambut baik program MyKiosk kerana percaya panel solar gerai baharu dan reka bentuk kukuh menjadikannya lebih unggul serta lebih menjimatkan kos berbanding gerai mereka sekarang.

Tetapi, mereka mengadu tidak pernah dihubungi pihak berkuasa dan beberapa gerai ditempatkan di lokasi tidak sesuai.

Alvan Adri, 35, yang menjual mi bakso dalam trak makanannya di Taman Alam Megah, berkata beroperasi dari gerai MyKiosk akan meringankan beban kerjanya kerana tidak perlu membawa pulang peralatannya setiap hari dan memasangnya semula keesokannya.

Beliau memberitahu FMT, bahagian depan kedainya akan kelihatan lebih kemas jika terdapat lebih banyak ruang simpanan kerana peralatan memasaknya kini terdedah sepenuhnya kepada pelanggan.

Namun, katanya, tiada pihak berkuasa menghubunginya mengenai program itu dan beliau masih tidak pasti dengan proses permohonannya.

Alvan menunjukkan sebuah tapak MyKiosk terbiar kira-kira 500m dari kawasan gerai makanannya yang sibuk dan keliru kenapa gerai itu ditempatkan di lokasi kurang pelanggan.

“Saya harap majlis bandaraya dapat mengadakan libat urus dengan kami dan mencari lokasi terbaik untuk menempatkan gerai MyKiosk. Jika mereka letak di tempat tidak dapat menarik pelanggan, sukar bagi peniaga berniaga.”

Mahadi Che Muhammad, 36, penjual burger di tapak sama, berkongsi kebimbangan sama dan berkata banyak gerai MyKiosk di Selangor kelihatan terbiar.

Mahadi Che Muhamad
Penjual burger Mahadi Che Muhammad berkata banyak gerai MyKiosk di sekitar Selangor kelihatan terbiar.

“Ia program menarik kerana gerai itu mempunyai ‘faktor wow’, tetapi penempatan banyak gerai kelihatan tidak strategik. Pihak berkuasa perlu meletakkannya di tempat peniaga beroperasi.”

Semakan FMT mendapati 12 unit MyKiosk merah putih masih kosong di kawasan terbabit. Peniaga tempatan berkata ia dibiarkan hampir dua tahun.

Azrin Hassan, pemilik gerai di Bukit Damansara yang senada dengan Alvan berkata, gerai MyKiosk akan membolehkan peniaga menyimpan peralatan mereka dengan selamat selepas waktu operasi bagi mengurangkan risiko kecurian.

Azrin Hassan
Azrin Hassan berkata struktur kukuh unit MyKiosk akan melindungi peniaga daripada cuaca buruk.

Lelaki berusia 44 tahun itu berkata, struktur kukuh unit itu akan melindungi mereka daripada cuaca buruk, merujuk kejadian pokok tumbang yang memusnahkan beberapa gerai baru-baru ini dan menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung kos pembaikan sendiri.

Pada 2 Okt lalu, Utusan Malaysia memetik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai berkata, 95% daripada unit MyKiosk 2.0 sudah beroperasi sehingga September lalu.

Program itu dikecam Pemuda MCA kerana kadar penggunaannya didakwa rendah, khasnya di kawasan bawah Majlis Bandaraya Shah Alam dan Petaling Jaya.

Dilancarkan pada 2023, objektif MyKiosk untuk menyediakan ruang yang selamat dan selesa kepada peniaga berniaga bagi meningkatkan imej gerai di tepi jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.