
Peguam Kok, SN Nair, berkata tarikh perbicaraan itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Isa Aziz Ibrahim hari ini. Peguam Ang Carlreen mewakili Akmal.
Dalam saman yang difailkan tahun lalu, Kok mendakwa bahawa video yang dimuat naik oleh Akmal di Facebook, TikTok dan Instagram adalah bersifat fitnah serta menghina.
Dalam videonya, Akmal telah menggelar Kok sebagai “wanita nyonya tua” dan memintanya tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam termasuk berkait cadangan pensijilan halal.
Adun Merlimau itu juga menyifatkan Kok sebagai ‘memalukan’ negara dan menggesanya supaya berdiam diri mengenai isu berkaitan Islam.
Kok mendakwa kenyataan Akmal itu antara lain menggambarkan dirinya sebagai perkauman, tidak sensitif serta seorang yang tidak menghormati Islam dan tidak setia kepada negara.
“Kenyataan plaintif jelas berkaitan proses mendapatkan pensijilan halal oleh pengusaha dalam industri makanan dan minuman.
“Bagaimanapun, kenyataan ini telah dicemuh dan dihina secara keterlaluan.
“Kenyataan salah oleh defendan telah memesongkan konteks dan niat asal kenyataan plaintif yang boleh mengelirukan orang ramai dan secara tidak adil mencemarkan reputasi plaintif,” kata pernyataan tuntutan itu.
Kok berkata Akmal juga tidak menunjukkan rasa kesalnya dan enggan menarik balik atau meminta maaf di atas kenyataan itu.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am dan pampasan daripada Adun Merlimau itu, serta injunksi menghalangnya daripada mengulangi kenyataannya.