Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, banyak negara maju dan membangun telah melaksanakan dasar mengundi pada usia 18 tahun.
“Setakat ini, tidak timbul isu mengenai ketidakupayaan dalam mengendalikan (prosesnya),” kata beliau kepada FMT.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sangat berpengalaman dan cekap dalam mengendalikan isu pendaftaran (pengundi berusia 18 tahun).”
Semalam, Presiden Dewan Negara Rais Yatim berkata, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar Undi 18, walaupun selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Kata beliau, negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu, memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun turut memakan masa lama.
November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan usia layak mengundi baharu dan pendaftaran pengundi automatik dijangka bermula selewat-lewatnya Julai.
“Tindakan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 akan mengundang pelbagai persepsi,” kata Awang Azman.
Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan menyifatkan alasan bahawa proses pendaftaran pengundi 18 tahun memakan masa lama sebagai “longgar” dan agak sukar diterima.
Katanya, Malaysia mempunyai sistem pendaftaran dan pengesahan identiti yang cepat.
“Misalnya, (sistem menggunakan) kad pengenalan yang dapat sahkan status orang itu dengan begitu cepat dan mudah,” kata beliau.
Beliau turut menggunakan MySejahtera sebagai contoh, sebuah aplikasi yang baharu namun efisien dalam mengesahkan status dan maklumat seseorang.
Oleh itu, kata Azmi, pengesahan pengundi baharu juga boleh dilakukan dengan cepat, tiada alasan melengahkannya.
Pada 16 Julai 2019, Parlimen bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya. Undang-undang itu diwartakan secara rasmi pada September 2019.