Salleh minta pengundi Sabah pilih ‘kontraktor paling baik hasil kerja’

Salleh minta pengundi Sabah pilih ‘kontraktor paling baik hasil kerja’

Bekas ketua menteri Sabah berkata rakyat ada kuasa putuskan mahu 'sambung atau tukar' kontraktor berdasarkan prestasi mereka.

Salleh Said Keruak
Bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak berkata rakyat perlu menilai prestasi parti politik seperti kontraktor yang menyiapkan sebuah projek. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin Umno Sabah Salleh Said Keruak meminta pengundi menilai prestasi parti politik seperti kontraktor yang menyiapkan projek — dan memilih siapa paling baik hasil kerjanya, paling berdisiplin, dan paling amanah.

Menggunakan analogi politik seperti menguruskan sebuah projek, beliau berkata dalam mana-mana pilihan raya negeri, rakyat adalah tuan sebenar projek tersebut.

Bekas ketua menteri itu berkata rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada mahu menyambung atau menukar kontraktor berdasarkan hasil kerja lima tahun yang lalu.

“Parti yang memerintah ibarat kontraktor yang diberi tanggungjawab membangunkan negeri dan membantu rakyat. Bila tempoh tamat, rakyat perlu menilai adakah kerja siap, janji ditepati, dan rakyat terbela?” katanya dalam satu kenyataan.

Bendahari Umno Sabah itu menambah bahawa walaupun tiada kontraktor yang sempurna tetapi rakyat boleh membuat perbandingan, siapa paling baik hasil kerjanya, paling berdisiplin, dan paling amanah.

Salleh turut berkata kadangkala projek besar memerlukan gabungan beberapa kontraktor dan pentingnya gabungan parti politik yang tahu bekerjasama serta boleh menghasilkan kerja yang lebih mantap.

“Yang penting bukan siapa namanya, tetapi hasil dan prestasinya. Pilihlah kontraktor atau gabungan kontraktor yang terbukti tahu bekerja, berpengalaman dan jujur dalam amanah,” katanya.

PRN Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi yang akan dipertandingkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.