
Walaupun tiada angka rasmi, ahli politik dan kumpulan masyarakat sivil mendakwa terdapat kira-kira 200,000 hingga 300,000 pengundi berdaftar dari Sabah bekerja di Semenanjung khususnya di Lembah Klang.
Antara Ahli Parlimen membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat ialah Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka).
Kitingan bimbang kos tiket penerbangan tinggi akan menyebabkan ramai pengundi tidak pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada 29 Nov depan.
Kebimbangan itu disuarakan di sebalik AirAsia menawarkan promosi tambang tetap RM299 sehala termasuk semua caj bagi penerbangan dari Semenanjung ke Sabah bermula 26 hingga 28 Nov sempena PRN, membabitkan 4,300 tiket.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun pada 16 Okt lalu berkata setakat ini tiada ketetapan rasmi mengenai pelaksanaan undi pos bagi pengundi Sabah yang menetap atau bekerja di Semenanjung.
Undi pos terhad dibuka kepada tiga kategori iaitu 1A membabitkan anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media.
Kategori 1B pula khusus untuk warganegara Malaysia yang menetap di luar negara, manakala 1C membabitkan agensi atau organisasi yang dibenarkan SPR.
FMT mendapatkan pandangan bekas pegawai kanan SPR dan pertubuhan pemantau pilihan raya, Bersih, bagi memahami cabaran pelaksanaan undi pos bagi kumpulan ini.
Kekangan masa rumitkan proses
Bekas timbalan pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar berkata secara prinsip undi pos boleh dilaksanakan kerana undang-undang tidak menghalangnya, namun kekangan masa menjelang PRN Sabah ke-17 menjadikannya satu proses rumit dan berisiko.

“PRN Sabah mempunyai 73 kerusi DUN dan pengundi Sabah di Semenanjung pula bertaburan di seluruh negeri. Jika undi pos dilaksanakan secara tergesa-gesa, ia boleh menimbulkan banyak isu teknikal dan keselamatan,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah, isu keselamatan termasuk memastikan kertas undi sampai kepada penerima sebenar dan tidak disalahgunakan.
“Mereka mungkin lebih 300,000 orang, tetapi berselerak merata. Ini menimbulkan kekangan logistik besar. Risiko penipuan dan ‘jual undi’ juga wujud,” katanya sambil menegaskan undi pos memerlukan perancangan rapi dan lebih awal.
Undi pos lebih demokratik
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, pula berpendapat masa bukan alasan yang kukuh dan menegaskan bahawa undi pos untuk pengundi berdaftar perlu dilaksanakan.

“Persoalannya mudah: jika rakyat tidak mampu pulang mengundi, apakah mekanisme lain disediakan kerajaan? Undi pos adalah pilihan munasabah bagi memastikan hak mengundi tidak dinafikan,” katanya.
Beliau berkata undi pos boleh diperluaskan secara berperingkat kepada pengundi yang bekerja jauh dari kawasan asal, seperti diamalkan di banyak negara.
PRN Sabah ke-17 akan berlangsung pada 29 Nov, dengan penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal 10 hari kemudian.
Berdasarkan daftar pemilih SPR, seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini.