Suruhanjaya Sekuriti siasat Sime Darby atas ‘pendedahan salah’

Suruhanjaya Sekuriti siasat Sime Darby atas ‘pendedahan salah’

Syarikat itu memulakan tindakan undang-undang terhadap sebuah NGO di AS minggu ini dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan aduan yang difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti.

Sime Darby Plantation mendakwa pemimpin sebuah NGO menyembunyikan maklumat yang boleh membantu ‘pekerja yang didakwa diperjuangkannya’.
PETALING JAYA:
Sime Darby Plantation (SDP) sedang disiasat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia susulan aduan dibuat sebuah badan bukan kerajaan, yang turut menyebabkan Amerika Syarikat mengenakan larangan import terhadap Sime Darby atas dakwaan penggunaan buruh paksa.

Kumpulan anti-pemerdagangan manusia, Liberty Shared mendakwa syarikat itu membuat pendedahan salah dalam Laporan Kelestarian 2019.

“Sebagai korporat bertanggungjawab yang tersenarai dalam bursa Malaysia, Sime Darby Plantations akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Sekuriti,” kata syarikat gergasi minyak sawit itu dalam kenyataan.

Bulan lalu, suruhanjaya itu memberitahu agensi berita Reuters yang ia menerima satu aduan, tetapi enggan berkongsi butiran tambahan berhubung perkara itu kerana ia masih disemak.

SDP berkata, ia turut memulakan tindakan undang-undang terhadap Pengarah Urusan Liberty Shared, Duncan Jepson di AS pada minggu ini dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan aduan yang difailkan NGO terbabit kepada suruhanjaya itu.

“Ini kali pertama dalam sejarah 200 tahun SDP, kami mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah NGO,” kata syarikat itu, dan mengumpul maklumat mengenai aduan itu sangat penting.

“Kami sangat menyedihkan walaupun beberapa komunikasi secara langsung dan tidak langsung, Jepson terus menyembunyikan maklumat penting yang boleh membantu pekerja yang didakwa diperjuangkannya.”

Syarikat itu berkata, atas permintaan Jepson, ia melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) Singapura pada Oktober 2020 untuk berkongsi maklumat diperlukan bagi menyelesaikan masalah yang dikatakan itu, tetapi PwC atau Jepson belum memberikan maklumat yang diminta kepada mereka.

Disember lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) untuk menyekat produk Sime Darby atas dakwaan penggunaan buruh paksa susulan petisyen dikemukakan Liberty Shared.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.