
Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, berkata syarikat milik seorang individu itu didakwa menipu 65 pelabur dalam satu skim pelaburan saham sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM3 juta.
“Syarikat dan ejen pemasaran mereka dipercayai tidak mendapat kebenaran atau kelulusan daripada SC untuk membuat tawaran skim pelaburan saham. Syarikat ini juga tidak tersenarai dalam bursa.
“Kami juga akan membuat laporan kepada Bank Negara atas kesalahan mengambil deposit tanpa lesen,” katanya pada sidang media bersama mangsa yang membuat laporan kepada SC.
Beliau juga menggesa SC menyiasat syarikat berkenaan mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Hishamuddin berkata, sebelum ini syarikat itu aktif menarik pelabur dengan memberi penerangan palsu dan turut menggunakan selebriti dan pendakwah terkenal untuk memperdayakan mangsa.
“Selebriti dan ustaz terkenal ini juga sudah tidak lagi mempromosikan pelaburan ini selepas mereka juga tidak dibayar oleh syarikat itu,” katanya.