
Lau Min Thung, 43, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Suzana Hussin.
Di hadapan Norma, lelaki itu didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu penggunaan wang berjumlah RM808,000 dalam akaun dagangan saham milik Ong Chu Lee, 41, dan Yeong In Shern, 36, antara Februari 2013 dan April 2014 di CIMB Investment Bank Berhad, Taman Melaka Raya, Melaka.
Semua kesalahan itu didakwa mengikut Perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Suzana, tertuduh berdepan dua pertuduhan iaitu melibatkan diri secara tidak langsung dalam penipuan berkaitan pembelian saham antaranya MMC Corporation Berhad dan Cuscapi Berhad sehingga menyebabkan Yap Kim Sim, 71, dan Khu Tee Sing, 78, masing-masing membeli cek bernilai RM303,000 kononnya untuk pembelian bon Axiata Global Berhad Term Bond yang sebenarnya tidak wujud.
Sebaliknya, cek itu dimasukkan ke dalam akaun dagangan saham Ong yang dikawal tertuduh.
Lau turut didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam penipuan berkaitan pembelian saham antaranya CWorks Systems Berhad dan Oceancash Pacific Berhad sehingga menyebabkan Lau Keng Keong, 68, membeli cek bernilai RM202,000 kononnya untuk pembelian bon Axiata Global Berhad Term Bond yang sebenarnya tidak wujud.
Cek itu sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun dagangan saham Yeong yang dikawal tertuduh.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada masa dan tempat sama mengikut Subseksyen 179 (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM1 juta, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC) Muhammad Izzat Fauzan tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC sebulan sekali sehingga kes selesai, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan.
“Sekiranya jaminan dibenarkan, mohon mahkamah mengambil kira jumlah wang yang diubah dan keseriusan kesalahan yang dilakukan,” kata Izzat yang mengendalikan kes bersama Pegawai Pendakwa SC Jonathan Chin, Daniel Ariff Tung, dan Raihana Nadhira Rafidi.
Peguam Azalea Nazihah Zulkifli yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan sentiasa memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh siasatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM200,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 25 April untuk sebutan semula kes.