Bursa kata sistem dagangan selamat susulan laporan akaun digodam

Bursa kata sistem dagangan selamat susulan laporan akaun digodam

Bursa Malaysia berkata insiden gagal log masuk dan dagangan tidak sah hanya melibatkan sebilangan kecil broker.

bursa malaysia logo
Bursa Malaysia berkata tiada laporan mengenai akses atau perdagangan tidak sah selepas pasaran ditutup hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bursa Malaysia berkata sistem dagangan dan penyelesaian miliknya tidak terjejas susulan laporan berkaitan akses dan aktiviti dagangan tidak sah yang berlaku ke atas beberapa akaun dagangan semalam.

Dalam satu kenyataan, Bursa menjelaskan bahawa insiden itu hanya melibatkan sebilangan kecil akaun dagangan milik pelanggan daripada beberapa broker, dan tidak merebak secara meluas seperti yang didakwa oleh beberapa pihak media.

Katanya, ketika penutupan pasaran hari ini, tiada laporan mengenai akses atau perdagangan tidak sah.

“Keutamaan Bursa adalah memastikan pasaran kekal diakses dan teratur untuk semua peserta pasaran, kerana operasi berterusan adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dalam jangka masa panjang.

“Bursa dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), sedang bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan untuk memastikan perlindungan kepada pelabur dan keadilan pasaran kekal dijaga,” katanya.

Semalam, beberapa broker melaporkan kepada Bursa dan SC bahawa mereka mengesan akses dan aktiviti dagangan tidak sah melibatkan beberapa akaun dagangan dalam talian. Insiden serupa tetapi berskala kecil turut dilaporkan berlaku kira-kira enam minggu lalu.

Insiden penggodaman seumpama itu turut dilaporkan di Jepun beberapa bulan lalu, di mana akaun dagangan dalam talian digodam dan digunakan untuk memanipulasi saham murah di pasaran global.

Akaun yang digodam itu digunakan untuk membeli saham pada harga yang dilambungkan, membolehkan pihak yang mengambil kedudukan awal menjual saham tersebut pada harga tinggi.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pengawal selia pasaran modal berkata mereka sedang menyiasat pelanggaran keselamatan itu dan akan mengambil langkah lanjut yang diperlukan.

Mereka juga menasihatkan broker supaya segera memaklumkan kepada pelanggan agar menetapkan semula kata laluan dan log masuk bagi meningkatkan tahap keselamatan akaun dagangan masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.