
Bagi tuduhan pertama, Razrul Anwar Rusli, 45, didakwa menjalankan suatu urusan dalam kegiatan terkawal, iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan dia bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan tidak mendaftar bagi kegiatan berniaga dalam sekuriti.
Razrul yang juga bekas timbalan ketua Bersatu Johor Bahru dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021 mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum bawah Seksyen 58(4) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya.
Tertuduh juga berdepan lapan tuduhan menipu lima individu dengan membuat representasi mengenai skim pelaburan bon patuh syariah dikenali sebagai Amal Trust, menyebabkan mangsa memindahkan wang berjumlah RM3.16 juta bagi tujuan pelaburan, sedangkan representasi itu palsu.
Kesalahan ini didakwa dilakukan di Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Raja Muda Abd Aziz, Bandar Puchong Jaya dan Pandan Indah, serta di Jalan Jelutong, Pulau Pinang antara Januari 2020 dan April 2021, mengikut Seksyen 179(b) dan boleh dihukum bawah Seksyen 182 CMSA yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM1 juta.
Razrul yang bukan pemegang lesen atau wakil perkhidmatan pasaran modal turut didakwa mempamerkan gelaran pematuhan undang-undang sekuriti di laman sesawang ‘Amal Trust’, mewujudkan kepercayaan bahawa dia dilesenkan untuk menjalankan urusan berhubung kegiatan terkawal, iaitu berniaga dalam sekuriti sebagaimana dalam Jadual 2 CMSA.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021 mengikut Seksyen 362(3) CMSA dan boleh dihukum bawah Seksyen 372(1) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) manakala Razrul diwakili peguam Mohd Syamril Afzan Mohd Hasim.
Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin warganegara bagi kesemua tuduhan.
Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SC setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Jun.