
Malah semuanya rata-rata menyuarakan keyakinan terhadap vaksin berkenaan.
Dr Chan Weng Kian, antara petugas yang terawal menerima suntikan itu berkata ia tidak menyakitkan dan beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan.
“Sejujurnya, tiada apa yang perlu ditakutkan, malah saya merancang terus bertugas tanpa mengambil cuti sakit selepas menerima suntikan ini,” katanya kepada FMT.

Dr Nurul Bahirah yang turut berkongsi pengalaman menganggap dirinya bertuah kerana menjadi antara kumpulan pertama disuntik vaksin.
“Pada mulanya saya takut, namun selepas disuntik saya lebih yakin untuk meneruskan tugasan.”
Sementara itu, Dr Girishankar Samarasam memuji proses vaksinasi yang lancar.
“Keseluruhan proses mengambil masa kurang sejam. Memang cepat, mudah dan tiada apa untuk ditakutkan.
“Saya menggesa orang awam supaya segera mula mendaftar untuk menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.”
Penyelaras vaksinasi Dr Ahmad Sohaib Mohd Dan berkata, semua petugas barisan hadapan itu melalui lima stesen di pusat vaksinasi, termasuk satu untuk memeriksa kesan sampingan.
“Stesen pertama untuk pendaftaran, diikuti surat izin menerima imunisasi dan taklimat di stesen kedua.
“Selepas disuntik vaksin di stesen ketiga, mereka ke stesen keempat untuk dipantau selama 15 hingga 30 minit untuk sebarang kesan sampingan.
“Jika tiada kesan sampingan, mereka diberikan kad vaksinasi dan tarikh seterusnya ditetapkan untuk suntikan kedua.
“Sehingga kini, tiada kesan sampingan dilaporkan petugas barisan hadapan kami selepas menerima suntikan. Setakat ini semuanya baik,” katanya kepada pemberita di lokasi itu.
Sohaib berkata, program vaksinasi itu dibahagikan kepada dua sesi, iaitu pagi dan petang, dengan 48 orang disuntik vaksin pada setiap sesi.
Beliau menganggarkan kira-kira 1,000 petugas barisan hadapan MAEPS akan disuntik vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech menjelang hujung minggu depan.
Daripada jumlah itu, 500 adalah petugas kesihatan manakala selebihnya dari pelbagai agensi kerajaan termasuk polis, tentera dan kakitangan awam lain yang bertugas di MAEPS.