Kartel VVIP ancaman ‘cukup berat’, KPN rayu tambah anggota untuk perang dadah

Kartel VVIP ancaman ‘cukup berat’, KPN rayu tambah anggota untuk perang dadah

Hamid Bador berkata kartel dadah sudah tidak boleh lari, tapi polis perlu tambahan anggota untuk menangani jenayah dadah secara berkesan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kartel dadah didalangi VVIP mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu, namun JSJN menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bukti.
IPOH:
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, merayu kerajaan untuk meluluskan permohonan menambah anggota polis bagi menghadapi perang dadah, selepas dalang utama kartel berstatus Tan Sri dan Datuk dikenalpasti baru-baru ini.

Bercakap kepada media di Kem PGA Ulu Kinta hari ini, Hamid berkata polis sudah lama memperhatikan lebih lima kartel dadah yang didalangi orang kenamaan, dan mereka katanya sudah tidak boleh lari daripada pengawasan polis.

Namun, kerajaan perlu meluluskan pertambahan anggota jika mahu jenayah berkaitan dadah ditangani secara berkesan.

“Sekiranya saya perlu menyediakan tujuh dulang hati nyamuk, saya akan sediakan. Saya merayu kerana saya mahu menyedarkan semua pihak ancaman dadah ini adalah benar,” katanya.

“Saya tidak mahu dituduh sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani masalah dadah.”

Hamid sebelum ini mendedahkan dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang berselindung sebalik status Tan Sri dan Datuk sudah dikenal pasti, dan beliau mahu pastikan mereka ini dikenakan tindakan sebaik pembabitan dapat dibuktikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Hamid berkata kartel berkenaan mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu, cuma apa yang menjadi halangan ketika ini masalah untuk mendapatkan bukti yang boleh mengaitkan dalang-dalang itu secara terus.

Kesukaran itu di sebalik kejayaan polis menumpaskan beberapa sindiket, dengan rampasan jutaan ringgit, dalam operasi demi operasi setiap minggu.

“Kartel dadah ini sudah tidak boleh lari,” katanya.

“Itu bukan amaran kosong…saya hanya ingin kongsikan dengan masyarakat bahawa ancaman dadah ini sebenarnya cukup berat.”

Sementara itu, mengulas perkembangan siasatan Macau Scam dan judi dalam talian yang turut membabitkan 31 pegawai dan anggota polis, Hamid berkata kertas siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard mengenainya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tindakan lanjut.

Semua pegawai dan anggota polis tersebut kini dalam proses dijatuhi hukuman, tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.