Kertas siasatan Rex Tan diserah ke AGC dalam masa terdekat

Kertas siasatan Rex Tan diserah ke AGC dalam masa terdekat

Polis rakam percakapan lima saksi setakat ini, kata KPN.

Khalid Ismail
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata, polis akan terus pantau, ambil tindakan secara berperingkat terhadap mana-mana pihak manipulasi isu sensitif untuk timbulkan kegentaran awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung kes bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT) Rex Tan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat, kata Ketua Polis Negara Khalid Ismail.

Khalid berkata, polis setakat ini telah merakam percakapan lima saksi bagi membantu siasatan kes tersebut

“Bergantung pada unit siasatan, mungkin kita memerlukan saksi-saksi lain untuk tindakan lanjut,” katanya selepas program kepolisian komuniti ‘Thaneer Panthal’ di kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, lapor Bernama.

Tan, 31, ditahan susulan soalan kontroversi yang dibangkitkan dalam satu wacana awam baru-baru ini, membabitkan perbandingan antara situasi di Palestin dengan layanan terhadap komuniti Cina di Malaysia.

Polis sebelum ini turut memanggil dua pegawai kanan sebuah syarikat media berbahasa Cina bagi membantu siasatan berhubung terjemahan salah titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam hantaran media sosial yang dikesan pada 19 Jan lepas.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Khalid berkata, polis akan terus memantau dan mengambil tindakan secara berperingkat terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegentaran awam melalui manipulasi isu sensitif.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sedang berbincang dengan AGC bagi mencari mekanisme terbaik menangani isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang dilihat semakin berleluasa di media sosial.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata, keterbukaan melampau di platform media sosial menyebabkan segelintir pihak bebas melemparkan komen sehingga melangkaui batas undang-undang negara.

“Media sosial ini begitu terbuka, jadi semua orang ingin membuat komen sehingga ke satu tahap mereka kadangkala melangkaui undang-undang kita yang memerlukan tindakan dari sudut perundangan itu sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.