
Pengarah APMM Kelantan, Erwan Shah Soahdi, berkata dapatan itu mencerminkan kewujudan sindiket terancang kini beroperasi dengan pengaturan lebih rapi dan canggih merentas sempadan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemasukan Pati ke negara ini bukan secara rawak, sebaliknya diuruskan sindiket yang membuat persiapan awal sebelum membawa mereka masuk.
Katanya, kebanyakan Pati lazimnya tidak bergerak jauh sebaik tiba, sebaliknya akan bersembunyi di sungai kecil, kawasan semak dan lokasi terpencil sebelum dijemput menggunakan kenderaan darat.
Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan kewujudan aktiviti penyeludupan yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan kemajuan teknologi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Modus operandi penyeludup kini semakin licik…kita mengesan penyeludup menggunakan dron untuk memantau kawasan dan meninjau pergerakan pasukan penguat kuasa, dengan penggunaan teknologi oleh pihak penguat kuasa sendiri, termasuk peralatan penglihatan malam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Jelasnya, taktik penyeludup semakin kompleks, termasuk penggunaan bot kecil secara berperingkat dan pemantauan awal sebelum pendaratan, dengan perairan di sempadan Kelantan-Terengganu dikenal pasti antara kawasan tumpuan pencerobohan bot nelayan asing berdasarkan pola tangkapan APMM.
“Kebanyakan pencerobohan dikesan berlaku berhampiran hujung sempadan kedua-dua negeri itu kerana lokasi berkenaan memudahkan bot asing berundur dengan pantas ke kawasan kawalan mereka, sekiranya dikesan pihak berkuasa.
“Berdasarkan rekod tangkapan, bot nelayan asing biasanya berada kira-kira 120 hingga 130 batu nautika dan bergerak rapat di sempadan Kelantan-Terengganu, menunjukkan mereka berhati-hati dan sentiasa bersedia untuk melarikan diri.”
Erwan Shah berkata, bot nelayan asing lazimnya bergerak pada kelajuan rendah kira-kira lapan knot, manakala aset maritim mampu mencapai kelajuan 15 hingga 18 knot, sekali gus membolehkan usaha mengejar dan menahan dilakukan, sekiranya dikesan lebih awal.
Menurutnya, kebanyakan operasi dan tangkapan dilakukan pada waktu malam kerana pergerakan bot asing lebih aktif pada tempoh itu berbanding waktu siang.
Mengulas tindakan terhadap kru bot asing ditahan, APMM memaklumkan individu terbabit akan disiasat dan ditahan sebelum dibawa ke mahkamah, dan sekiranya diperintah usir, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran ke negara asal.