Polis tumpas sindiket syabu RM13 juta disimpan di ‘homestay’

Polis tumpas sindiket syabu RM13 juta disimpan di ‘homestay’

Syabu seberat 261kg ditemui dalam 13 guni dipercayai dijadikan stok simpanan untuk pengedaran di sekitar ibu kota.

Fadil Marsus bersama sebahagian syabu bernilai RM13 juta yang dirampas daripada sindiket di Segambut, Selasa lalu.
KUALA LUMPUR:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan syabu bernilai RM13 juta selepas menahan empat lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah ‘homestay’ di Segambut, Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata kesemua suspek berusia 23 hingga 32 tahun ditahan hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau berkata tiga suspek ditahan kira-kira 7 malam di premis terbabit yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dan pengedaran dadah.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 13 guni mengandungi 250 bungkusan plastik teh Cina yang berisi bahan disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas ialah 261kg dengan nilai RM13 juta,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas ialah 261kg dengan nilai RM13 juta.

Dalam serbuan berasingan, Fadil berkata, polis turut menahan seorang lagi suspek berhampiran kawasan itu yang dipercayai terlibat dalam kes sama.

Fadil berkata semua suspek direman selama tujuh hari bermula 28 Jan hingga 3 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Turut disita wang tunai RM100 dan dua kenderaan bernilai RM100,000.

Siasatan turut mendapati tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.