Polis tumpas sindiket antarabangsa, rampas dadah RM174 juta

Polis tumpas sindiket antarabangsa, rampas dadah RM174 juta

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata Ops Coleoptera yang dilancarkan pada 20 dan 21 Jan itu turut menahan lapan suspek.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail (dua kanan) menunjukkan rampasan dadah dalam sidang media di IPK Sabah hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi beberapa serbuan dalam Ops Coleoptera pada 20 dan 21 Jan melibatkan rampasan serta sitaan bernilai RM174 juta.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata tujuh serbuan di Penampang, Inanam, Kota Kinabalu, Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang di Selangor, menahan lapan suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun termasuk dua wanita.

Beliau berkata polis merampas 3,043.5kg dadah jenis methamphetamine, 102.5kg ketamin, 90kg pil ekstasi, 4kg cecair vape disyaki mengandungi kokain serta 2.6kg pil Erimin 5.

“Sindiket dipercayai menggunakan laluan laut sebagai kaedah utama pengangkutan dan menjadikan kontena di premis logistik sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.

“Pada 21 Jan, polis merampas 250 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 255kg dari sebuah premis logistik di Pelabuhan Klang yang dipercayai belum sempat dihantar ke Sabah,” katanya pada sidang media di IPK Sabah.

Khalid berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak beberapa tahun lepas dan jumlah dadah yang dirampas boleh memusnahkan kira-kira 16 juta individu.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif methamphetamine dan ketamin, dengan empat daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dua lagi suspek diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan.

Sementara itu, Khalid berkata Ops Bayu 2 yang dilaksanakan dari 5 hingga 8 Feb menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 35 tahun di sekitar Penampang dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM69.659 juta.

“Polis turut merampas kenderaan pacuan empat roda, wang tunai dan telefon bimbit,” katanya.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah melalui hotline JSJN 012 -208 7222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.