
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata enam suspek berusia 18 hingga 33 tahun ditahan menerusi Op Bugil dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Johor.
Katanya, sindiket diketuai lelaki tempatan berusia 23 tahun itu aktif sejak 2024 dengan menggunakan taktik menyamar wanita cantik di media sosial bagi memerangkap mangsa.
“Pada masa sama, mangsa dihantar pautan ‘phising’ bagi tujuan menggodam data telefon bimbit mereka manakala rakaman video lucah mangsa kemudian digunakan sebagai bahan ugutan untuk memeras wang secara berperingkat,” katanya dalam sidang media.
Khalid berkata, sindiket itu turut dikesan melakukan aktiviti pemerdagangan orang dengan merekrut warga tempatan untuk bekerja sebagai ‘scammer’ di luar negara seperti Laos dan Kemboja.
“Mangsa dipaksa bekerja sehingga 12 jam sehari, dikawal pergerakan, dirampas dokumen pengenalan serta didera secara fizikal dan seksual sekiranya enggan menurut arahan mereka.
“Mereka turut diugut dengan bayaran sebanyak RM30,000 sekiranya ingin berhenti kerja,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau seperti pemerdagangan orang, menghasilkan pornografi kanak-kanak, merompak secara kumpulan dan sebagainya dan akan dituduh Mahkamah Sesyen Johor Bahru 12 Feb ini.
“Lima lagi termasuk ketua sindiket masih dikesan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihaknya melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka, dan kini menunggu arahan lanjut agensi berkaitan.
Ditanya mengenai kes rompakan terbaru di Alor Gajah, yang menggunakan modus operasi sama, beliau tidak menolak kemungkinan saki-baki ahli kumpulan rompakan Durian Tunggal masih bebas terlibat.
“Setakat ini kita masih meneruskan siasatan,” katanya.
Sementara itu, Khalid berkata polis turut melumpuhkan satu lagi kumpulan jenayah terancang yang terlibat hampir 32 kes pecah rumah dan premis perniagaan sekitar Johor dengan kerugian melebihi RM1 juta menerusi Op Shutter.
Katanya, kumpulan yang aktif sejak 2022 itu menyasarkan rumah teres tidak berpenghuni serta kedai menggunakan pintu jenis shutter.
“Dua suspek berusia 22 dan 26 tahun ditahan pada 24 Jan lalu mengikut Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), manakala empat lagi sedang menjalani hukuman penjara di Kluang atas kesalahan lain,” katanya.
Beliau memaklumkan semua suspek juga akan dituduh bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Johor pada 12 Feb.