
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kenyataan, kejadian berlaku sekitar jam 12.45 tengah hari ini, membabitkan pasukan kereta peronda IPD Gombak.
Nik Ezanee berkata, pasukannya telah mengejar sebuah kenderaan jenis Proton Waja yang enggan bekerjasama untuk diperiksa dari Kg. Desa Aman menghala ke Bulatan Sierramas, Sungai Buloh, Selangor.
“Sampai di lampu isyarat berhampiran Bulatan Sierramas, polis telah mengarahkan dua lelaki tersebut keluar dari kereta, namun tidak diendahkan.”
“Mereka kemudian merempuh kenderaan di hadapan, di belakang dan di kanan keretanya bagi meloloskan diri dari pemeriksaan polis,” katanya.
Suspek turut merempuh kereta peronda polis hingga memaksa seorang anggota polis menembak ke arah tayar hadapan kereta tersebut.
Kata Nik Ezanee, kedua-dua suspek terpaksa meninggalkan kereta ditepi jalan selepas tayarnya bocor.
Katanya, pemeriksaan terhadap kereta ditinggalkan suspek menemui plastik lutsinar disyaki mengandungi heroin.
Hasil maklumat orang ramai, seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun ditahan di kawasan perumahan Desa Aman, kira-kira 1km dari tempat kereta ditinggalkan.
Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod kes dadah.
Sementara itu polis menjejak seorang lagi suspek yang masih bebas, dikenali dengan gelaran ‘Bob Mah Sing’ dianggarkan berusia 40-an.
Menurut Nik Ezanee, kes disiasat di bawah Seksyen 307, 427, 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 Dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.