Ibu mentua pemain bola sepak kebangsaan ditahan kes palsu cop Imigresen

Ibu mentua pemain bola sepak kebangsaan ditahan kes palsu cop Imigresen

Polis berkata wanita berusia 47 tahun itu bersama empat lelaki warga asing ditahan di Gombak dan sekitar Shah Alam.

Noor Ariffin Mohamad Nasir
Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata semua suspek direman hingga 8 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang wanita yang juga ibu mentua seorang pemain bola sepak kebangsaan dan empat lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemalsuan cop pasport.

Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, semua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Gombak pada Rabu lalu dan direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Katanya, polis pada mulanya menyerbu sebuah apartment didiami seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun di Gombak dan merampas barang-barang yang disyaki digunakan untuk memalsukan cop imigresen.

“Susulan itu, polis menangkap tiga lelaki warga asing berusia antara 39 tahun hingga 47 tahun dan seorang wanita warga tempatan berusia 47 tahun di sekitar Shah Alam,” katanya dalam kenyataan lapor Harian Metro.

Noor Ariffin berkata, semua suspek ditahan reman hingga 8 Okt ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat jenayah komersil, Fadzrul Akmal Zulkarnain di talian 010-2057600 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.