Pemandu Audi rempuh 2 motosikal polis positif alkohol

Pemandu Audi rempuh 2 motosikal polis positif alkohol

Seorang anggota cedera di kaki kiri dan sedang dirawat.

audi 46 mabuk langgar motor polis
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pemandu kereta itu disyaki hilang kawalan lalu melanggar dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
JOHOR BAHRU:
Lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan selepas kereta Audi A6 dipandu merempuh dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis di KM8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, kereta terbabit dari arah Skudai dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua motosikal jenis Kawasaki EX250 milik URB yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.

“Dua anggota polis masing-masing berusia 29 dan 36 tahun sedang melaksanakan kawalan lalu lintas di lokasi kemalangan. Seorang daripadanya cedera di kaki kiri dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, manakala seorang lagi anggota serta pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil saringan ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu itu didapati positif, manakala ujian awal air kencing pula negatif dadah.

“Suspek direman dua hari bermula 7 hingga 8 Sept 2025 selepas mendapat kebenaran Mahkamah Johor Bahru. Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah,” katanya.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, selain penggantungan 10 tahun lesen memandu.

Balveer Singh turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar menghubungi pegawai penyiasat Noor Azlina Abdul Raof di talian 019-7432966.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.