
Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan pada 2 petang semalam bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas satu bekas berisi pen serta perakam kamera litar tertutup (CCTV) dari tadika terbabit, tambahnya.
Menurut Noor Ariffin, kejadian disedari bapa mangsa yang mendapati ada kesan kecederaan di kepala anak perempuannya ketika berada di rumah kira-kira 10 pagi, Isnin lepas.
“Mangsa beritahu kecederaan berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya menggunakan pen ketika di tadika,” katanya, lapor Bernama.
Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Selayang sebelum disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala.
Susulan itu, bapa mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis pada 11.13 malam, Khamis lepas.
Noor Ariffin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau Bilik Gerakan IPD Gombak 03-61262222.