Bukan kejadian pertama, Zuraida mahu pesalah kes rogol lokap Miri kena hukuman berat

Bukan kejadian pertama, Zuraida mahu pesalah kes rogol lokap Miri kena hukuman berat

Beliau berkata tindakan tegas perlu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata tindakan tegas perlu bagi mengelak kejadian sama berulang memandangkan ia bukan kejadian pertama yang tidak diingini berlaku dalam lokap. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mendesak kerajaan meningkatkan hukuman dan seksaan bagi pesalah kes rogol remaja dalam lokap polis di Miri.

Beliau berkata, ia bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya kejadian sama tidak berulang.

“Bagi saya, kejadian hitam yang berlaku buat remaja ini tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja walaupun beberapa pendakwaan sudah dilakukan di mahkamah terhadap pesalah dan anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu berlaku sudah digantung tugas serta-merta.

“Dalam isu ini, polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberi perkembangan terkini apakah lokap Balai Polis Pusat Miri sudah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh digunakan untuk tujuan merakam dan memantau tahanan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 17 Jan lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berikrar akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab menahan seorang remaja bawah umur dalam lokap dan kemudian dirogol tahanan lain.

Remaja perempuan berusia 16 tahun itu dilaporkan dirogol tahanan lain ketika ditahan dalam lokap Balai Polis Pusat Miri pada 9 Jan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail dilaporkan berkata, dua anggota yang bertugas ketika itu sudah digantung tugas dan siasatan secara terperinci dijalankan.

Dalam pada itu, Zuraida berkata tindakan tegas perlu bagi mengelak kejadian sama berulang memandangkan ia bukan kejadian pertama yang tidak diingini berlaku dalam lokap.

Beliau mempersoalkan sampai bila CCTV hanya boleh digunakan untuk memantau sahaja akan digunakan di lokap.

“Saya berpandangan, transformasi CCTV perlu dilakukan di lokap seluruh negara, bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung masyarakat.

“Kejadian rogol yang berlaku ini bagi saya adalah kejadian luar biasa, kerana ia berlaku di sebuah balai polis, yang menurut saya sebuah premis dibangunkan untuk tujuan menjunjung dan menegakkan undang-undang negara seperti mana sumpah keramat dan janji setia pasukan polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.