
Menerusi forum dalam talian sempena ulang tahun keempat kehilangannya, isteri Koh, Susanna Liew menggesa rakyat Malaysia mempertahankan empat prinsip berkaitan kehilangan suaminya itu dan tiga yang lain.
Beliau menggesa orang ramai merenungkan kejadian kehilangan itu; sentiasa mengingati mereka yang hilang; saling memberikan sokongan; dan mendesak pihak berkuasa melepaskan Koh serta orang lain yang senasib.
Koh diculik pada 13 Feb 2017, dalam apa yang disifatkan “kehilangan paksa” oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Selain itu, Liew turut menggesa orang ramai mendoakan mangsa kehilangan paksa seperti itu, khususnya aktivis Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu.
Beliau menggalakkan orang ramai mendapatkan bantuan jika mengalami pengalaman sama melibatkan orang tersayang.
“Kita mesti menyokong dan menggalakkan sesama kita supaya bersuara. Contohnya, Norhayati (isteri aktivis dari Perlis Amri Che Mat) sangat terasing di Perlis, jadi kami mesti berikan sokongan kepadanya,” katanya.
Webinar itu turut disertai aktivis hak asasi manusia serta peguam, khususnya jurucakap Citizen Action Group on Enforced Disappearance (CAGED) Rama Ramanathan, peguam Jerald Gomez dan Gurdial Singh Nijar, serta pengkritik sosiopolitik Mariam Mokhtar.
Anggota panel itu menyuarakan kebimbangan terhadap penurunan hak asasi dan kebebasan beragama di negara ini.
Mariam berkata kehilangan Koh menunjukkan Malaysia adalah negara yang berazam mengekang hak rakyatnya.
Beliau turut berkata, fahaman ekstremis semakin meningkat di Malaysia.