Lebih 700 maut ketika dapatkan air di Gaza

Lebih 700 maut ketika dapatkan air di Gaza

Pihak berkuasa Palestin menuduh tentera Israel menggunakan air sebagai senjata perang bagi menafikan hak asasi paling asas rakyat Palestin.

Penduduk Palestin beratur untuk mendapatkan air dari lori tangki air di kem pelarian Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. (Gambar EPA Images)
GAZA CITY:
Sejak Oktober 2023, lebih 700 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan air, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan dipetik Anadolu Ajansi pada Isnin.

“Israel terus melancarkan perang sistematik dan disengajakan melalui taktik kehausan terhadap rakyat Palestin di Gaza, pencabulan nyata terhadap semua konvensyen antarabangsa dan prinsip kemanusiaan,” menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Pihak berkuasa Palestin menuduh tentera Israel menggunakan air sebagai senjata perang bagi menafikan hak asasi paling asas rakyat Palestin.

Kenyataan itu turut menyebut tentera Israel melakukan 112 pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza ketika mereka cuba mendapatkan air, dengan lebih 700 maut, majoritinya kanak-kanak.

Insiden terbaharu berlaku Ahad lalu, apabila sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh ketika beratur mendapatkan air di kem pelarian Nuseirat, Gaza Tengah.

Pejabat media turut mendedahkan lebih 720 telaga air di Gaza dimusnahkan secara sengaja oleh tentera Israel, menyebabkan lebih 1.25 juta penduduk hilang akses kepada air bersih.

Rejim Zionis juga didakwa menghalang kemasukan 12 juta liter bahan api setiap bulan – jumlah minimum diperlukan untuk mengoperasi telaga air, stesen kumbahan, sistem pelupusan sisa dan sektor penting lain.

“Tindakan ini melumpuhkan sepenuhnya sistem bekalan air dan kumbahan, sekali gus menyebabkan penularan wabak penyakit, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.”

Sehubungan itu, pihak berkuasa Gaza menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia bertindak segera bagi menghentikan Israel menggunakan air sebagai senjata perang serta membenarkan kemasukan bahan api dan peralatan diperlukan untuk membaik pulih telaga serta sistem saliran.

Sejak 2 Mac lalu, Israel terus menutup semua laluan keluar masuk ke Gaza termasuk bagi bantuan makanan, perubatan dan kemanusiaan – tindakan yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan menjejaskan kira-kira 2.4 juta penduduk wilayah itu.

Sekatan berterusan mengakibatkan Gaza di ambang kebuluran, dengan semakin banyak kematian dilaporkan akibat kelaparan.

Tentera Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, dengan jumlah korban kini melebihi 58,000 rakyat Palestin – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.